Monday, June 15, 2009


Labels:

Kuan Yew mahu tahu apa jadi jika PAS perintah Malaysia


KOTA BHARU: Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew membuat kunjungan bersejarah ke Kelantan dan bertemu dengan rakan sejawatnya dalam PAS iaitu Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Lee yang turut disertai oleh anggota kabinet Singapura menemui Nik Aziz di pejabat Menteri Besar Kelantan, Kota Darul Naim.


Mereka bertukar-tukar fikiran di samping bertanya khabar antara satu sama lain. Fokus utama Lee nampaknya adalah apa akan berlaku kepada rakyat berbilang kaum di negara ini jika parti Islam itu memerintah.

Nik Aziz menjelaskan, PAS akan menjadi pembela kepada semua kaum kerana itulah slogan PAS iaitu “PAS untuk semua”.

Rasa ingin tahu Lee mungkin sejak akhir-akhir ini semakin menjadi-jadi ekoran kemenangan besar PAS bersama rakannya dalam Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum lalu.

Tambahan pula Umno sejak akhir-ahkir ini dilihat semakin hilang pengaruhnya. Muktamar PAS baru-baru ini pula semacam mengambil pendekatan untuk PAS memimpin perubahan bersama Pakatan Rakyat.

Kata Nik Aziz, rakyat pelbagai bangsa di negara ini akan mendapat layanan sama rata dari pemimpin PAS sekiranya parti itu menguasai negara pada masa akan datang.

Pada masa yang sama, hubungan antara kerajaan dengan Republik Singapura juga akan berjalan baik sebagaimana biasa walaupun negara pada waktu itu ditadbir oleh pemimpin yang mentadbir secara Islam.

Jaminan yang diberikan Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan itu diberikan apabila Lee mahu mendengarnya sendiri dari mulut pemimpin utama PAS itu sekiranya PAS menguasai pucuk pimpinan negara pada masa akan datang sempena lawatan rasminya hari ini ke negeri itu.

Nik Aziz memberitahu, contoh harmoni yang dilaksanakan terhadap masyarakat minoriti di negeri ini seperti Cina dan India serta lain-lain bangsa sudah cukup menjadi bukti.

Katanya lagi, kehadirannya ke rumah ibadat masyarakat Buddha sebelum ini termasuk menerima rombongan pemimpin pelbagai agama termasuk Kristian di negeri itu juga turut menjadi bukti dasar hubungan baik dan mesra menurut Islam telah diamalkan oleh parti Islam itu di negeri berkenaan hampir 20 tahun lalu.

Bahkan, menurutnya antara negara pertama yang dilawatinya sewaktu mendapat mandat sebagai Menteri Besar adalah Negara China yang berbanding negera lain memandangkan negara tersebut menerima Islam sejak awal berbanding Tanah Melayu.

Turut hadir pada pertemuan yang berlangsung hampir sejam di pejabat Menteri Besar di Kota Darulnaim itu Menteri Kewangan Singapura, Tharman Shanmugaratnam, Menteri Pelajarannya, Ng Eng Hen di samping beberapa orang pegawai dari Kedutaan Singapura.

Turut hadir mengiringi Nik Aziz selain Setiausaha Politik, Haji Annual Bakhri Haroun dan Setiausaha Sulit Khas, Rosdi Abdullah ialah, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob, anggota-anggota exco, Datuk Husam Musa, Datuk Mohd Amar dan Datuk Anuar Tan Abdullah.

~ Siasahdaily

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin