Thursday, July 23, 2009


Labels:

Wacana Dakwah : Ahli PAS perlu persiapkan diri..


Pantai Dalam, 23 Julai - Ahli-ahli PAS diingatkan supaya melakukan persiapan diri untuk bergerak sebagai daie yang lebih berkesan apabila berdepan dengan sasaran yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Perkara itu adalah kesimpulan yang dapat dijelaskan melalui program Wacana Dakwah anjuran PAS kawasan Lembah Pantai yang telah diadakan hari ini di Markaz PAS Kawasan di Kampung Pasir.

Ahli panel wacana terdiri daripada Sdr. Ann Wan Seng (MACMA), Dr. Azhar (Ahli Akademik) dan Haji Shuib (Aktivis PAS) dan dipengerusikan oleh Ust. Adlin (YDP PAS Kawasan Lembah Pantai).

"Ahli PAS yang ingin terjun ke medan dakwah memerlukan persiapan dari sudut ilmu (hujah) dan akhlak (dakwah bil hal), melalui penghujahan secara ilmiah dan logik menyebabkan orang bukan Islam lebih faham tentang tuntutan dan ajaran Islam".

"Namun begitu, bukanlah penghalang kepada sebahagian ahli PAS untuk tidak berdakwah hanya kerana tiada ilmu dan tiada kepakaran berhujah, dengan menonjolkan akhlak Islamiyyah sahaja orang bukan Islam akan mudah tertarik dan menimbulkan rasa hormat kepada Islam", jelas Dr. Azhar.

Menurut Haji Shuib, budaya sokong menyokong di kalangan umat Islam adalah punca kelemahan umat Islam terutama bangsa Melayu di Malaysia. Akibat budaya dan sikap umat Islam yang tidak melaksanakan ajaran Islam, maka orang bukan Islam tidak tertarik dengan Islam.

"Satu perkara yang sangat penting dalam berdakwah adalah kita mengenali siapa sasaran kita, contohnya bangsa Cina..seorang pendakwah perlu mengenali apakah latar belakang bangsa Cina, adat-adatnya, tata pergaulannya dan sikap-sikapnya terlebih dahulu supaya dakwah boleh disampaikan dengan lebih berkesan" jelas Ann Wan Seng.

Salah persepsi di kalangan bangsa Melayu Islam terhadap bangsa-bangsa lain seperti Cina dan India menyebabkan usaha dakwah menjadi gagal dan terbantut.

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin