Sunday, March 28, 2010


Labels:

Talkin Untuk Ibrahim Ali


Bermula sebagai seorang pemimpin mahasiswa di era 70-an bersama Haji Muhamad Sabu di Uitm (Ketika itu ITM, nama Ibrahim dikenali ramai. Tamat pengajian, beliau menyertai Umno sehinggalah pernah menjadi exco Pemuda Umno sekitar tahun 1987. Beliau sempat berada di bawah Najib Razak dan Anwar Ibrahim sebagai ketua Pemuda Umno.

Apabila Kuli menubuhkan Parti Melayu Semangat 46, Ibrahim Ali keluar Umno dan menyertai kem Kuli. Belum pun Kuli membubarkan Parti Semangat 46 pada tahun 1996, Ibrahim terlebih dahulu lompat kali kedua kepada Umno. Ketika Anwar dipecat daripada Umno, Ibrahim lah antara juara mempertahankan tindakan Mahathir memecat Anwar. Dia menepuk meja menjerkah Anwar dalam mesyuarat terakhir disertai Anwar pada malam 3 September 1998 di PWTC. Ketika itu usianya baru 45 tahun. Masih muda dan bertenaga.

Walaupun ada sejarah dia keluar Umno dan menyerang Mahathir ketika dalam Parti 46, beliau cuba membuktikan kesetiaannya kepada Mahathir kesempatan kes Anwar dipecat. Ke hulu ke hilir dia berceramah membela tindakan Mahathir dan menyerang Anwar dan Pas. Masih ingat beberapa ceramah beliau di sekitar Gombak sebelum dan selepas pilihanraya 1999, Ibrahim berceramah dengan semangat walaupun kehadiran pendengar sekitar 20 orang. Anak-anak muda nakal lebih kurang 50 orang hadir, membunyikan "ong,ong gedek-gedek" beramai-ramai ketika Ibrahim berucap. Ibrahim hanya ketawa. Dia teruskan juga ceramah dihari-hari berikutnya.

Masih ingat dalam satu ceramah, dia diganggu 'bunyi-bunyi katak jadian' yan lebih ramai daripada pendengarnya, ada seorang hadirin melaung, 'piirah pengampu'. Ibrahim sepontan menjawab, "takpa mengampu pun, nanti dapat jadi menteri. Terang lagi bersuluh jawapannya yang jelas memaksudkan tujuan ceramahnya selama ini. Usahanya tidak gagal apabila selepas pilihanraya, Dr Mahathir melantik beliau sebagai timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Walaupun kalah pilihanraya di Pasir Mas kepada Ustaz Ismail Noh, beliau dilantik sebagai Senator.

Masih ingat dalam satu ceramahnya di Sekolah Teknik Pasir Mas seperti dilaporkan akhbar Harakah ketika itu, Ibrahim memperli Pas. Katanya yang dikatakan panas api neraka ini macam panas minyak goreng keropok sahaja. Sebaik majlis selesai, datang angin ribut yang mencabut kesemua bumbung bangunan sekolah tersebut. Tidak cukup dengan itu, Ibrahim juga menulis satu buku kecil berbentuk satira berjudul 'Babi'. Ia bagi melawan buku sastera SN Shahnon Ahmad berjudul 'Anjing'. Dalam buku 'babi' itu, ditulis kata-kata dan lakaran gambar yang menghina pimpinan Pas. Ada babi berserban (dituju Presiden dan Mursyidul Am), babi berambut belah tengah (dituju Naib Presiden ketika itu Dr Hasan Ali) dan lain-lain jenis babi yang di sinonemkan dengan perwatakan pemimpin Pas.

Apabila Pak Lah menjadi Presiden Umno pada tahun 2003, beliau merombak jawatan ketua-ketua Umno bahagian termasuk Ibrahim Ali. Ada yang kekal dan ada yang digantikan. Ibrahim sebagai ketua Bahagian Pasir Mas digantikan dengan Dato Rahim. Mak gelap politik Ibrahim sementara waktu. Dia sangat marah dan mengadakan pertemuan besar dengan pengikutnya. Ratusan pengikutnya menyambut ketibaan beliau di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa. Mulalah satu penentangan terhadap PM baru ini. Kemuncaknya pada pilihanraya 2004, beliau bertanding juga atas tiket bebas dan kalah teruk sehingga mendapat undi yang sangat sedikit. Beliau dipecat terus daripada Umno.

Bergeraklah beliau secara bebas dengan menubuhkan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) dan berbagai ngo sehingga hari ini dan terkini Perkasa. Berbaiklah beliau dengan Tok Guru Nik Aziz dan lain-lain pemimpin Pas. Apabila berlaku pilihanraya kecil Pengkalan Pasir, beliau bertanding dan hanya mendapat 415 undi sahaja. Muka beliau kerap dilihat dipentas-pentas pembangkang. Berbagai kata dihemburkan kepada Pak Lah. Paling kerap beliau menyebut dalam ceramahnya ialah perkataan 'babi'. Ni babi ni. Kata-kata melepas geram beliau. Kerap beliau diperli oleh Haji Muhamad Sabu ketika dalam ceramah bersama. Tetapi beliau buat tak hendah sahaja hatta depan Tok Guru Nik Aziz.

Apabila menang pilihanraya 2008 atas tiket Pas, beliau mula menunjukkan belang sebenar. Diserang Pakatan Rakyat, Anwar, Tok Guru dan Pas dan bermacam-mcam adegan yang diketahui ramai. Kelmarin kemuncaknya beliau melakukan AGM persatuan penaja Perkasa. Pelik, Perkasa ini baru penaja, belum diluluskan, tetapi KDN sudah meluluskan akhbar untuknya. Jelas alat siapa ini? Penulis mahu menyimpulkan yang segala tindakan Ibrahim Ali ini kerana mahu dapatkan perhatian 'bos-bos' besar kerajaan ini. Jika dahulu tindakan mati-matiannya menyebabkan Mahathir melantik jadi timbalan menteri, sekurang-kurangnya kali ini diterima kembali masuk Umno dan jadi menteri. Boleh jadi itu sahaja.

Namun zaman telah menelan kebijakan politik Ibrahm Ali. Umurnya kini 57 tahun. 10 tahun lagi menghampiri 70 tahun. Maka daripada segi usia sahaja, dia bukanlah orang yang berpotensi lagi untuk diambil Najib. Muka-muka baru diambil Najib semuanya muda-muda seperti Ahmad Maslan, Fuad Zarkasyi dan Saifuddin Abdullah. Citarasa mereka juga selaras dengan 1 Malaysia idaman Najib. Daripada segi fikiran dan tindakan pula, Ibrahim menjadi lebialiti pada Umno. Semangat Melayu tiada hujung pangkal, menghentam kaum lain menyebabkan golongan yang seang menolak Umno hari ini semakin lari daripada BN jika Ibrahim Ali diambil. Ibrahim sebenanrnya duduk dizaman 70-an seperti diawal kemasukannya dalam Umno dahului, namun realiti zaman ini sudah jauh berubah. Maka jika Umno tidak menerimanya kembali dan beliau bertanding atas tiket bebas dalam PRU akan datang, maka secara rasminya tamatlah riwayat politik beliau.

Sejarah pilihanraya 2004 dan PRK Permatang Pasir menunjukkan rakyat Pasir Mas menolak Ibrahim Ali, sebaliknya beliau menang sebelum dan selepas itu disebabkan parti yang ditandingi. Jadi usah berangan untuk terus menjadi MP lagi selepas ini. Galilah sedalam-dalamnya kubur kamu, dengan bermusuhan bersungguh-sungguh dengan Pakatan Rakyat, kelak rakyat dan zaman akan menanam kamu dalam-dalam. Insya Allah, talkin untuk Ibrahim Ali dua tahun lagi.

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin