Monday, July 5, 2010


Labels:

Amanat Ustaz Hasan Syukri Buat Pemuda Pas Lembah Pantai


Tidak dapat digambarkan terkejut, sedih dan entah apa perasaan lagi apabila mengetahui kematian Ustaz Hasan Syukri ketika diri tidak ada di tanah air. Jika ada pasti sejak petang, malam dan pagi sehingga ke kuburannya akan kuiringi jenazah Murabbi ini.

Baru beberapa bulan sahaja kami mengadakan usrah di rumahnya. Asalnya sekadar usrah biasa sahaja Dewan Pemuda Pas Lembah Pantai yang sememangnya diadakan dua minggu sekali, tetapi kali ini sengaja diusahakan dibuat di rumah Ustaz Hasan Syukri untuk meningkatkan kualiti usrah. Kami faham Ustaz Hasan biasanya hanya ada bersama isteri sahaja di rumah yang juga usia emas sepertinya. Jarang dilihat pada hari biasa adanya anak-anak di rumah. Begitu juga dengan orang gaji, sudah tentu tidak ada. Jika markaz Pas Taman Melewar itu boleh dibersihkannya setiap hari sehingga usia 71 tahun, apatah lagi rumahnya sendiri. Maka keperluan orang gaji tidak ada.

Kami sampai lebih awal daripada ustaz Hasan yang kebetulan solat di surau bersama isterinya. Setibanya beliau, terus sahaja dijemput masuk ke rumah. Jika tidak silap kami hadir seramai 15 atau 12 orang pada malam itu. Rumah ustaz Hasan sangat kemas dan teratur. Selesai usrah, beliau dan isteri menjemput ke dapur untuk sedikit jamuan. Terkejut bukan kepalang kami semua kerana tidak niat dantidak dijangka langsung kami akan dijamu. Sampai sahaja di meja makan, dua mangkuk besar pengat durian(bubur durian) dihidangkan, siap dengan roti dan pulut lagi. Ini bukan jamuan ringan, jamuan berat nampaknya. Ditambah dengan buah dan kuih rasanya. Ustaz Hasan mengangkat sendiri pinggan mangkuk bersama isteri ke meja.

Itupun Ustaz Hasan hendak cedukkan makanan untuk kami, tetapi cepat-cepat sahabat pemuda ambil senduk dan membantu. Demikianlah pertemuan secara dekat dan mesra buat kali terakhir dengannya. Ada dua pesanan yang diberikan pada malam itu khusus buat anak muda yang berpelajaran dan penggerak parti.

Pertamanya menjadi ahli gerakan islam, jangan sekali-kali fenatik kepada kepimpinan. Wajib untuk kita taati pimpinan tetapi tidak fenatik. Kerana mulianya seseorang pimpinan kerana Islam dan gerakan yang disertainya. Kata Ustaz Hasan, Mursyidul Am sendiri keluar daripada Pas, hanya beberapa ribu sahaja akan mengikutinya dan Pas akan terus mara. Ini dibuktikan dengan keluarnya Dato Asri, Dato Nakaie dan lain-lain. Itulah contoh yang dibuat. Alhamdulillah ustaz Hasan Syukri membuktikannya apabila dia meninggal dunia setelah berada dibawah 7 Presiden Pas. Walaupun dua daripadanya kembali kepada Umno, tetapi Ustaz Hasan istiqamah sehingga akhir hayatnya.

Keduanya, anak-anak muda berpelajaran perlu bantu bidang kesetiausaan dan organisasi. Jika Pas hendak maju dan berkembang, istitusi setiausaha di semua peringkat perlu kemas dan mantap. Dalam pas, pelbagai latar belakang ahli dan aktivisnya yang aktif. Ada setiausaha kawasan dan cawangan yang sudah tua dan tidak mampu menjalankan tugas dengan baik dan kemas terutama sekali dengan kecanggihan teknologi terkini. Maka anak muda berpelajaranlah perlu membantu. Jika tidak menjadi setiausaha sekalipun, tetapi membantu tugas setiausaha.

Inilah dua pesanan penting yang diulang-ulang pada usrah malam itu. Semoga roh pemimpin besar Pas ini ditempatkan bersama orang-orang soleh. lebih penting lagi, semoga kita yang hidup ini dapat mengikut jejak ustaz Hasan yang istiqamah sehingga akhir hayatnya.

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin