Monday, July 12, 2010


Labels:

Memenangi Kawasan Felda

Pilihanraya tahun 1999 menyaksikan Barisan Alternatif menang 8 kerusi di Pahang. Pas menang 6 kerusi, PKR dan DAP masing-masing 1 kerusi. Daripada 8 kerusi ini 5 kerusi mempunyai Felda iaitu Cini, Jengka, Paya Besar, Guai dan Tahan. Di Jengka, Cini dan Guai, Pengundi Felda adalah majoriti. Daripada 10 UPU di Jengka, 9 daripadanya adalah kawasan Felda. Pas memenangi 6 UPU daripada 10 di dun ini. Begitu juga di Guai, adanya Felda Tementi, Bera, Mayam, Purun dan lain-lain.

Ini memberi makna, pilihanraya 1999 pernah menyaksikan Pas memenangi kawasan Felda di Pahang. Perlu diketahui bahawa 60 peratus daripada Felda terletak di Pahang dan 40 peratus pengundi di Pahang adalah daripada Felda. Maknanya Felda boleh menjadi faktor jatuh bangunnya negeri Pahang. Sebelum itu mari kita melihat faktor-faktor kemenangan kawasan Felda 1999. Jika alasan sekarang kita kalah di kawasan luar bandar disebabkan maklumat yang tidak sampai. PRU 1999 juga menyaksikan Barisan Alternatif bermasalah dalam hal yang sama. Jadi siapa yang memenangkan Felda pada tahun 1999.

Kita lihat peti undi yang dimenangi oleh BA pada tahun tersebut kebanyakannya saluran 3. Manakala saluran satu dan dua juga ada peningkatan walaupun tidak besar. Maknanya kemenangan ini disebabkan oleh undi anak muda dan kaum tua. Bagaimana perubahan ini berlaku? Kebanyakan anak muda ini bekerja di Lembah Klang dan tempias kebangkitan reformasi akibat penangkapan Anwar Ibrahim terkena pada mereka. Mereka balik ke kampung mengasak ibu bapa supaya turut berubah menyokong Pas dan BA. Maka perubahan berlaku. Pengundi saluran satu ini memang sukar diubah, tetapi jika ianya dilakukan atas pengaruh anak-anak khususnya yang makan gaji di luar, berpelajaran, peratus untuk berubah itu lebih besar. Maka dua golongan ini iaitu sebahagian saluran satu dan majoriti saluran 3 dan 4 telah memenangkan BA pada tahun tersebut.

Oleh itu tidak boleh kita mengatakan pengundi Felda tidak pernah berubah dan sukar berubah. Kerana di Pahang pernah menyaksikan Pas menang di kebanyakkan kawasan Felda yang ditandingi. Ada dun Felda yang kita tidak menang tetapi beberapa peti undi di dalamnya dimenangi oleh Pas seperti dun Jempol dalam Parlimen Maran. Pas memenangi 3 UPU daripada 9 UPU di dun ini.

Oleh itu situasi pada hari ini juga tidak jauh berbeza. Berlakunya satu lonjakan perubahan menolak BN besar besaran khususnya di Lembah Klang. Bezanya gelombang 1999 lebih emosi berbanding kini. Gelombang pada hari ini atas kesedaran dan separa senyap. Ceramah, demonstrasi, perbicaraan Anwar dan lain-lain program Pakatan tidak dihadiri ramai seperti 1999. Tetapi apabila tiba pilihanraya ramai pula mengundi Pakatan. Berbalik kepada Felda tadi, perubahan juga harus bermula di bandar. Sangat ramai anak, cucu dan menantu peneroka Felda berada di Lembah Klang. Mereka inilah yang perlu digarapkan untuk menjadi juru kempen Pakatan di felda-felda. Jika tidak merubah ibu bapa sekalipun, sekurang-kurangnya mengubah adik-adik atau anak-anak peneroka yang duduk di kampung-kampung. Saranan ini bukan percubaan atau impian tidak berjejak, kerana buktinya sudah berlaku pada pilihanraya 1999. Di Pahang 12 daripada 13 parlimen mempunyai kawasan Felda.

Perlu diingat, pengundi di felda kebanyakannya 50 peratus ke bawah sahaja dikalangan peneroka dan isteri peneroka. Manakala selebihnya adalah anak-anak peneroka, menantu dan cucu mereka. Golongan ini mewakili hampir 50 peratus atau lebih dan mereka mudah menerima perubahan. isu pada tahun 1999 lebih kepada pemecatan dan pemenjaraan Anwar Ibrahim. Tetapi isu pada hari ini ialah penipuan, penyelewengan dan penindasan peneroka Felda. Jika mereka faham isu sebenar, penolakan terhadap parti pemerintah akan berlaku secara sedar.

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin