Monday, December 13, 2010


Pemuda PAS anjur Umrah Tarbawi

Nazri Abdullah


AMPANG, 12 Dis: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) hari ini memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan syarikat Al Quds Travel Sdn Bhd dalam usaha menganjurkan Umrah Tarbawi.

DPPP diwakili bendaharinya, Adram Musa manakala Al Quds diwakili Mohd Helmi Ibrahim.

Umrah Tarbawi adalah satu program menunaikan ibadah Umrah bersama pimpinan DPPP termasuk ketuanya, Ustaz Nasrudin Hassan, Timbalan Ketua, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani dan Exco, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Menurut Nasrudin, penganjuran program itu adalah kesinambungan amal tarbawi pemuda PAS selepas penganjuran Ijtima' Tarbawi di Rusila baru-baru ini.

"Kita mensasarkan 400 peserta ke kota suci Mekah bersama Dewan Pemuda.

"Di samping Umrah, kita juga akan ada aktiviti pembinaan tiga elemen utama iaitu pembentukan aqidah perjuangan, fikrah yang jelas dan pembentukan sahsiah yang soleh," katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini.

Biarpun anjuran Pemuda PAS, namun program tersebut adalah terbuka kepada umum termasuk muslimat.

Program 12 hari itu dijadualkan pada bulan Mac 2011 iaitu musim cuti sekolah sesi tahun hadapan.

Tiga pakej disediakan iaitu RM5,490, RM5,790 dan RM4,392 untuk kanak-kanak.

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 31 Januari 2011.

Maklumat lanjut berhubung program tersebut boleh diperolehi dengan mengakses www.umrahtarbawi.com.

"Kita akan cuba bawa Presiden PAS dan Mursyidul Am PAS bersama dan sekaligus menjadi murabbi kepada aktiviti tarbiyyah kita nanti," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin