Tuesday, December 21, 2010


Awasi kawasan flat dari gejala zina

0 comments

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) memandang serius kenyataan Ketua Sub-Unit Seksualiti, Bahagian Reproduksi Manusia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr. Hamizah Mohd. Hassan bahawa remaja yang tinggal di kawasan flat kos rendah adalah berisiko tinggi terdedah kepada perbuatan zina dan pembuangan bayi. Menurut beliau, faktor jarak rumah yang terletak berhampiran antara satu sama lain boleh mendorong kepada perbuatan tersebut.

DPPWP berkongsi kebimbangan dengan jumlah flat kos rendah atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan Kuala Lumpur yang agak banyak. Dalam keadaan begini, bagaimanakah gejala seks bebas atau zina serta gejala pembuangan bayi dapat dibendung dalam masyarakat.

Faktor jarak rumah yang terlalu dekat sebagai penyumbang kepada gejala zina perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa. Mungkin kerajaan boleh memikirkan bagaimana agar jarak sesuatu rumah flat kos rendah tidak terlalu padat seperti sekarang dengan mengambil kira keselesaan dan kesesuaian penghuni rumah flat.

Selain itu, faktor rumah yang terlalu sempit serta bilik yang kecil dan tidak mencukupi menyumbang kepada gejala ini. Bagi keluarga yang mempunyai ramai anak, kepadatan rumah menyebabkan anak-anak remaja mereka sering keluar rumah kerana tidak tahan dengan suasana sempit dalam rumah.

Dalam hal ini, DPPWP berharap agar kerajaan menyediakan sekurang-kurangnya 3 buah bilik untuk mengasingkan antara anak lelaki dan perempuan di samping ruang rumah serta bilik yang agak selesa untuk sebuah keluarga.

DPPWP juga ingin mengingatkan ibu bapa agar lebih berhati-hati dan mengawasi pergaulan anak-anak. Jangan sesekali membiarkan anak-anak bergaul bebas antara lelaki dan perempuan serta membenarkan rumah dijadikan tempat untuk mereka berjumpa.

Ibu bapa juga perlu mengawasi telefon bimbit anak-anak, video-kamera, VCD serta komputer terutamanya akses kepada internet supaya anak-anak tidak menonton pornografi di rumah.

Selain itu, DPPWP mengharapkan Rukun Tetangga atau Persatuan Penduduk agar lebih aktif dalam menjalankan rondaan. Mana-mana aduan berhubung seks bebas atau pergaulan bebas perlu dipandang serius dan tindakan segera perlu diambil.

Program motivasi remaja dan bimbingan fardhu ain perlu kerap diadakan di kalangan remaja selain kuliah ilmu dan tazkirah dihidupkan di surau flat.

Akhir sekali, DPPWP turut mengharapkan agar jiran menjadi mata dan telinga kepada masyarakat sekitarnya. Peribahasa ‘jangan jaga tepi kain orang’ sudah tidak boleh digunapakai lagi di dalam suasana masyarakat sekarang.

Islam mengajar kita ‘amar ma’aruf nahi mungkar’ dan peka terhadap apa yang berlaku di sekitar terutamanya rumah jiran mereka. Hanya dengan cara ini gejala zina, maksiat serta pembuangan bayi dapat dibendung di kawasan flat.


FADHIL OSMAN,
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan


Read more...

Wednesday, December 15, 2010


Golongan muda sebagai kuasa ketiga

0 comments

Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com

Konvensyen Pakatan Rkyat pada 19 Disember ini sangat wajar memberikan perhatian kepada trend pemikiran anak muda dalam perkembangan politik tanah air dan trend pengundi atas pagar, yang dipanggil ‘Kuasa Ketiga’, selain isu lain.

Trend itu ialah: Pertama, trend pemikiran anak muda masa kini yang dilihat sangat kritikal terhadap parti pemerintah atas beberapa sebab.

Kedua, kemunculan apa yang dipanggil ‘Kuasa Ketiga’ iaitu pengundi atas pagar yang sangat penting diperhatikan justru golongan ini dilihat memiliki critical thinking yang sangat prihatin terhadap apa yang berlaku di negara sekarang.

(Gambar hiasan: Sejauh mana Pemuda PAS dapat menjiwai kehendak anak muda)

Golongan atas pagar yang baru ini mungkin tidak menyokong mana-mana parti politik tetapi mereka hanya akan mengundi parti dan calon yang memenuhi cita rasa mereka. Mereka ini melihat isu dan cara mana sesuatu parti yang bertanding itu menangani isu itu. Mereka juga meneliti rekod parti pemerintah dan pembangkang.

Dua perkembangan terbaru dalam arena politik di Malaysia ini sangat wajar diberikan perhatian oleh Konvensyen Pakatan Rakyat nanti kerana ia tentunya mempengaruhi keputusan PRU Ke-13 nanti.

Dengan itu konvensyen ini wajar melihat secara objektif akan hal ini dan bagaimana menanganinya dengan bijaksana.

Penulis politik terkenal, yang juga Ketua Pengarang Harakah dalam satu tulisannya di Harakahdaily baru-baru ini mengulas mengenai trend anak muda sekarang. Beliau menulis bahawa demonstrasi membantah kenaikan melampau tarif air di Selangor baru-baru ini menunjukkan beberapa petanda menarik.

Menurutnya, penyertaan pro-aktif golongan muda untuk turut berarak dan menuntut hak - termasuk daripada kelompok mahasiswa yang secara jelas dilarang terbabit dengan apa jua kegiatan politik dalam dan luar kampus - mencuit perhatiannya.

Tanpa kehadiran mereka, kata Lutfi, kemeriahan perhimpunan mungkin terjejas teruk. Saya amat bersetuju dengan pandangan Lutfi bahawa Konvensyen Pakatan Rakyat di Kepala Batas, Pulau Pinang, hujung minggu ini wajar memberi tumpuan khas terhadap gelagat anak muda dalam berpolitik.

Kata Lutfi lagi, selain merumuskan deraf manifesto awal Pilihan Raya Umum Ke-13 dan membincangkan isu-isu kritikal yang membantut kemajuan negeri-negeri yang diperintah Pakatan, usaha menggerakkan kesedaran orang muda, sekurang-kurangnya untuk mendaftar sebagai pemilih, seterusnya terlibat aktif sebagai agen reformasi, tidak boleh dilewat-lewatkan.

Bagi saya, perkembangan dan suasana politik baru di Malaysia menuntut kebijaksanaan yang sungguh-sungguh dari pemimpin dan warga Pakatan Rakyat seluruhnya, terutama hasil dari kehadiran pelbagai media baru melalui internet dan media cetak alternatif.

Suasana tentunya sungguh berbeza dengan trend politik ketika PRU Ke-12 di tahun 2008 dulu. Ini semua, antaranya, disebabkan Umno/BN cuba ‘bangun’ kembali dari kekalahan teruknya dulu, isu perkauman yang begitu disemarakkan oleh golongan berkepentingan.

Juga tidak dapat dinafikan mengenai persepsi orang ramai kesan dari krisis yang melanda PKR – walaupun kini sudah reda, juga isu pentadbiran kerajaan negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat serta beberapa isu lain.

Dengan itu Pakatan Rakyat, pertamanya perlu memberi perhatian sungguh-sungguh kepada golongan muda justru pengaruh mereka menyerlah kembali.

Golongan muda dan ‘Kuasa Ketiga’ ini mungkin boleh menjadi kuasa penentu akan kemenangan calon-calon dalam PRU Ke-13 nanti. Mereka ini sedang memerhatikan sungguh- sungguh perjalanan Pakatan Rakyat dan Umno/BN, terutama para calon yang akan dikemukakan oleh kedua-dua pihak.

Bagi kedua golongan ini mereka hanya akan memberikan undi kepada calon yang mereka lihat berwibawa, kurangnya potensi – atau tidak berpotensi sama sekali - untuk melompat, calon yang berilmu, mesra rakyat dan berfikiran terbuka serta calon yang tidak pelahap dengan pelbagai habuan atau boleh dibeli dengan wang dan ganjaran lain. Juga calon yang bukan menjadi ‘tukang sorak’ semata-mata di Dun atau Dewan Rakyat.

Boleh disimpulkan bahawa golongan generasi muda dan golongan atas pagar yang baru ini adalah golongan yang sangat kritikal. Jangan ada siapa yang berfikir bahawa mereka ini adalah ‘pengundi mainoriti’, tidak penting dan bukan penentu keputusan pilihan raya.

Seperti dikatakan tadi, kedua-dua golongan ini sangat terdedah kepada pelbagai maklumat dan sama sekali bukan ‘pelanggan’ media tradisional baik akhbar ataupun TV. Mereka golongan yang berfikir dan terbuka.

Mereka hanya mengundi calon yang boleh membawa negara ini benar-benar mengamalkan demokrasi dan adil, bersih dari segala bentuk rasuah, kronisme, nepotisme dan sebagainya serta mereka mahukan negara ini bebas dari elemen perkauman dan kelompok.

Oleh itu jika Pakatan Rakyat dapat memberikan jaminan dan menunjukkan kemampuan melaksanakan idealisme mereka ini, tidak syak lagi kedua golongan ini akan memberikan undi kepada mereka.

Di samping itu, Pakatan mestilah juga memberi perhatian sungguh-sungguh kepada pengundi tegar PAS, DAP dan PKR selama ini supaya mereka tidak lari dan dalam masa yang sama rakyat mahukan jaminan dari Pakatan Rakyat untuk memberikan komitmen sungguh-sungguh melaksanakan sebuah kerajaan yang terbaik untuk rakyat jika menang.

Sementara itu, adalah sesuatu yang tepat keputusan PAS melarang semua pihak memberi kenyataan, ulasan dan sebagainya mengenai isu negara Islam.

Kepada saya semua pihak juga perlu berhenti dari menimbulkan isu timbalan perdana menteri jika Pakatan berkuasa serta isu yang memperlihatkan perbezaan pendapat di antara pemimpin dalam dalam Pakatan, isu perkauman dan lain-lain.

Kenyataan yang keluar selama ini, walaupun tidak selalu, banyak mencederakan kewibawaan Pakatan Rakyat justru ia menjadi ‘bola tanggung’ kepada pemimpin Umno/BN dan media yang mereka kuasai untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat.

Apa yang diharapkan ialah semua parti dalam Pakatan memberikan tumpuan serius kepada PRU Ke-13 dan tidak lagi menghabiskan masa dengan melayani masalah dalaman berlarutan.

Inilah persoalan dan hala tuju yang sangat wajar difikirkan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat ini. Agenda, usul, rumusan dan rangka bertindak Konvensyen ini sewajarnya tepat dan bijaksana justru rakyat sedang menanti hasilnya.


Read more...

Monday, December 13, 2010


Pemuda PAS anjur Umrah Tarbawi

0 comments
Nazri Abdullah


AMPANG, 12 Dis: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) hari ini memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan syarikat Al Quds Travel Sdn Bhd dalam usaha menganjurkan Umrah Tarbawi.

DPPP diwakili bendaharinya, Adram Musa manakala Al Quds diwakili Mohd Helmi Ibrahim.

Umrah Tarbawi adalah satu program menunaikan ibadah Umrah bersama pimpinan DPPP termasuk ketuanya, Ustaz Nasrudin Hassan, Timbalan Ketua, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani dan Exco, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Menurut Nasrudin, penganjuran program itu adalah kesinambungan amal tarbawi pemuda PAS selepas penganjuran Ijtima' Tarbawi di Rusila baru-baru ini.

"Kita mensasarkan 400 peserta ke kota suci Mekah bersama Dewan Pemuda.

"Di samping Umrah, kita juga akan ada aktiviti pembinaan tiga elemen utama iaitu pembentukan aqidah perjuangan, fikrah yang jelas dan pembentukan sahsiah yang soleh," katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini.

Biarpun anjuran Pemuda PAS, namun program tersebut adalah terbuka kepada umum termasuk muslimat.

Program 12 hari itu dijadualkan pada bulan Mac 2011 iaitu musim cuti sekolah sesi tahun hadapan.

Tiga pakej disediakan iaitu RM5,490, RM5,790 dan RM4,392 untuk kanak-kanak.

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 31 Januari 2011.

Maklumat lanjut berhubung program tersebut boleh diperolehi dengan mengakses www.umrahtarbawi.com.

"Kita akan cuba bawa Presiden PAS dan Mursyidul Am PAS bersama dan sekaligus menjadi murabbi kepada aktiviti tarbiyyah kita nanti," katanya.


Read more...

Friday, December 10, 2010


Surau Al Falah diroboh Kerana Umno Gagal Kuasai

1 comments

Hafiz Baqi

KUALA LUMPUR, 10 Dis: Pas Lembah Pantai tidak menolak usaha pihak berkuasa hendak meroboh surau Al Falah di Pantai Dalam kerana unsur-unsur politik kepartian dibawa oleh Umno yang dikatakan gagal untuk menguasai surau tersebut.

Yang Dipertua Pas Lembah Pantai, Adlin Soleh berkata, pihaknya percaya cadangan untuk merobohkan surau Al Falah timbul ekoran rasa tidak senang pemimpin Umno selepas gagal mengusai Surau tersebut melalui usaha Ketua Umno Lembah Pantai, Dato Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang mahu menubuhkan 'Muafakat Masjid dan Surau Lembah Pantai'.

Sehubungan itu kata Adlin, PAS Lembah Pantai memberi amaran kepada Umno dan Barisan Nasional untuk berhadapan dengan tindakan lebih tegas daripada rakyat khususnya dalam pilihan raya akan datang sekiranya usaha meroboh surau itu diteruskan.

"Isu ini perlu ditangani segera atau hadapi tindakan rakyat," katanya.

Sementara itu Pemuda Pas Lembah Pantai mendakwa pihaknya telah mengenalpasti adanya pengaruh-pengaruh politik dalam arahan perobohan oleh DBKL ke atas surau tersebut.

Kata ketua Pemuda PAS Lembah Pantai, Nasaie Ismail, berkata, antaranya terbukti apabila pihak surau menghantar memorundum dan ingin mengadakan perbincangan dengan Menteri Wilayah, mereka telah diminta hadir ke pejabat Umno Lembah Pantai kerana Umno akan memanggil DBKL, Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) dan pihak pemaju bagi berunding di pejabat Umno.

"Pas mempersoalkan kenapa perlu campur tangan Umno dalam urusan DBKL dan Jawi ini. Jelas ada unsur politik dalam usaha mereka," kata Nasaie.

Selain itu Nasaie turut membidas suara-suara 'orang politik' parti lawan yang mengatakan surau Al Falah sebagai surau Pas kerana ramai orang PAS bersolat di situ.

"Apakah salah orang PAS memenuhi mana-mana masjid atau surau di negara ini sehingga tergamak hendak merobohkannya. Pelik dalam sebuah negara yang pemimpinnya beragama Islam, adanya halangan kepada orang Islam yang berlainan parti politik mereka untuk mengimarahkan masjid," kata beliau.

Isu surau Al Falah timbul apabila DBKL mengeluarkan notis untuk merobohkan surau tersebut bertarikh 10 November lalu untuk tujuan pembangunan.

Ekoran notis itu, kira-kira 80 ahli kariah surau tersebut yang bimbang surau itu akan dirobohkan telah bermalam di surau itu dan disertai beberapa kumpulan mahasiswa daripada universiti berdekatan.

Penduduk juga telah menghantar memorandum bantahan kepada Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Raja Nong Chik supaya surau tidak dirobohkan.


Read more...

Gagal kuasai, Umno mahu surau diroboh?

0 comments

KUALA LUMPUR, 10 Dis: PAS Lembah Pantai menentang usaha pihak berkuasa hendak merobohkan Surau Al-Falah di Kampung Pantai Dalam yang diimarahkan oleh penduduk dengan baik.

Yang Dipertua PAS Lembah Pantai, Ustaz Adlin Soleh berkata, usaha merobohkan surau itu dilihat adanya unsur-unsur politik kepartian yang dibawa oleh pihak lawan.

“Kita menyedari usaha Umno khususnya Datuk Raja Nong Chik menubuhkan 'Muafakat Masjid dan Surau Lembah Pantai'.

“Ada beberapa surau dan masjid yang tidak dikuasai mereka menyebabkan mungkin adanya dengki sesetengah pihak tertentu sehingga keluar cadangan untuk merobohkan Surau Al-Falah,” katanya.

Menurutnya, jika isu itu tidak ditangani segera, PAS memberi amaran BN akan menghadapi tindakan rakyat yang lebih tegas dalam pilihan raya akan datang.

Manakala Pemuda PAS Lembah Pantai mempersoalkan suara-suara 'orang politik' parti lawan yang mengatakan Surau Al-Falah sebagai surau PAS kerana ramai orang PAS bersolat di situ.

"Apakah salah orang PAS memenuhi mana-mana masjid atau surau di negara ini sehingga tergamak hendak merobohkannya.

“Pelik dalam sebuah negara yang pemimpinnya beragama Islam, adanya halangan kepada orang Islam yang berlainan parti politik mereka untuk mengimarahkan masjid," ujar ketuanya, Nasaie Ismail.

Pemuda Lembah Pantai juga mengenalpasti adanya pengaruh-pengaruh politik dalam arahan perobohan oleh DBKL.

Ini, katanya kerana apabila pihak surau menghantar memorandum dan ingin mengadakan perbincangan dengan Menteri Wilayah, wakilnya meminta pihak surau hadir ke pejabat Umno Lembah Pantai untuk menyelesaikan masalah itu.

“Umno akan memanggil DBKL, Jawi dan pihak pemaju bagi berunding di pejabat Umno. PAS mempersoalkan kenapa perlu campur tangan Umno dalam urusan DBKL dan Jawi ini. Jelas ada unsur politik dalam usaha mereka,” jelasnya.

Katanya, Pemuda PAS Lembah Pantai juga mempersoalkan Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Raja Nong Chik yang kerap mengadakan majlis politik berlogokan Umno di beberapa masjid di Lembah Pantai.

"Lebih baik Umno melihat diri sendiri dahulu sebelum menghukum rakyat. Saya harap Menteri Wilayah tersebut kerap solat berjemaah di masjid dan surau di Lembah Pantai dan duduk mendengar kuliah-kuliah agama daripada sibuk berpolitik menggunakan masjid,” katanya.


Read more...

Friday, December 3, 2010


Jaulah Tarbawi Pemuda Pantai

0 comments

Pemuda PAS Lembah Pantai akan mengadakan Jaulah Tarbawi Pemuda pada 3 - 5 Disember ini ke Kedah. Antara aktivitinya ialah melawat keluarga mangsa Memali, sesi dialog bersama PAS Kedah dan Kerajaan Negeri Kedah, melawat Madrasah Tarbiyatul Awladiyyah Darul Ulum dan banyak lagi.

Jaulah beserta pengisian yang julung-julung kali diadakan ini bakal memberi banyak ilmu dan manfaat kepada peserta. Semoga semua peserta yang akan menyertai Jaulah ini dilindungi dan diberkati oleh Allah perjalan pergi, semasa dan pulang. Allahuakbar!!!

Read more...

Thursday, December 2, 2010


Potong gaji pengerusi Syabas, bukan naik harga air

0 comments
KUALA LUMPUR, 3 Dis: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyokong sekiranya ada usaha Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sendiri memotong gaji pengerusinya untuk menampung kos operasi atau memberi bantuan keperluan asas kepada penduduk khususnya warga Selangor.

Ketua Penerangannya, Fadhil Osman (kiri) berkata pihaknya merasa terkejut dengan maklumat pendapatan Pengerusi Eksekutif Syabas mencecah RM5.1 juta setahun atau bersamaan RM425,000 sebulan.

Katanya, DPPWP hairan bagaimana kerajaan Selangor sebelum era Pakatan Rakyat (PR) boleh meluluskan pendapatan sebegini banyak untuk seorang pengerusi syarikat yang mempunyai kepentingan dengan keperluan asas penduduk di negeri Selangor iaitu air.

DPPWP, ujarnya tidak kisah sekiranya pendapatan tersebut diperolehi oleh pengerusi atau ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat gergasi yang mempunyai keuntungan berbilion ringgit setahun dan bersifat internasional.

Tetapi, soalnya nilai pendapatan sebegitu tinggi tidak wajar diperolehi oleh pengerusi sebuah syarikat yang menguruskan air untuk rakyat.

“Apakah Syabas mahu mengambil laba berlipat kali ganda dari rakyat hasil dari sedikit jasa menguruskan air untuk keperluan rakyat?


“Meskipun air di Selangor diuruskan oleh Syabas, namun lupakah pengerusinya bahawa air dikurniakan oleh Allah untuk manusia?” soalnya lagi.

Jelasnya, air adalah keperluan asas penduduk di mana tanpa air, tiadalah kehidupan dan DPPWP kesal bagaimana air yang sangat penting boleh diniagakan dengan nilai yang tinggi kepada rakyat.

DPPWP juga, katanya melihat mungkin itulah faktor Syabas mahu menaikkan harga air sebanyak 37% kerana mahu menampung operasi mereka termasuk membayar gaji pengerusinya.

Sedangkan, ujarnya kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mahukan kebajikan untuk rakyat dengan memberi 20 meter padu air percuma kepada rakyat.

Sepatutnya, tamba beliau Pengerusi Syabas perlu insaf terhadap keadaan masyarakat khususnya yang berpendapatan rendah kerana menaikkan harga air bererti menambah beban kepada rakyat.

“Rakyat baru mendapat ‘hadiah’ dengan kenaikan harga minyak petrol RON 97 baru-baru ini, usah ditambah dengan pelbagai kenaikan lagi,” ujarnya.

Beliau menambah, Syabas perlu melihat kesan kepada ekonomi negara dengan hampir semua harga barang keperluan akan meningkat.

DPPWP juga, ujarnya menyokong usaha kerajaan Selangor yang akan mengadakan himpunan besar-besaran pada 5 Disember, Ahad ini sebagai membantah kenaikan harga air oleh Syabas.

Read more...
Blog Widget by LinkWithin